Jemputan melawat ke blog rasmi yayasan nusrah

Salam persahabatan.

yayasan Nusrah kini mempunyai blog rasmi. Jemput ziarah ke sana. di

Lawatan Belajar Kerja Amal di Kemboja

Yayasan Nusrah telah mengadakan lawatan kerja amal ke Kemboja selama lima hari bermula 15-19 Februari 2011. Lawatan kali pertama ini telah disertai oleh 10 orang peserta yang terdiri daripada 4 orang wakil daripada yayasan dan 6 orang peserta luar dan merupakan kesinambungan kepada projek ‘korban-aqiqah Kemboja’ yang telah dijalankan oleh yayasan atas sumbangan orang ramai pada hari raya korban yang lalu. Tujuan utama lawatan ini diadakan adalah dengan tujuan merangka pakej ‘pelancongan amal’ terhadap rakyat Kemboja. Selain itu, pihak yayasan juga mengadakan perbincangan dan lawatan ke sekolah-sekolah agama bagi memperkasakan lagi pendidikan Islam di sana. Rombongan ini juga telah membawa derma sebanyak RM 10 000 yang terdiri daripada derma wang aqiqah, derma penyelenggaraan tandas dan pam air untuk kegunaan masyarakat setempat di kampung-kampung yang dilawati beserta derma pakaian, Al-Quran dan kitab-kitab zikir. Untuk melancarkan lagi gerak kerja ini, pihak yayasan telah bekerjasama dengan Association for Charitable Assistance & Social Development Cambodia (ACCAM) yang merupakan sebuah pertubuhan yang ditubuhkan bagi membantu ekonomi dan kebajikan rakyat kemboja. Pihak ACCAM bertanggungjawab menguruskan segala perjalanan program sepanjang lawatan amal ini.

15 Februari – rombongan yayasan tiba di Lapangan Terbang Phnom Penh pada jam 5.45 petang dan bergerak ke Khmer City Hotel di Phnom Penh yang merupakan tempat penginapan peserta selama lawatan ini dijalankan. Perjalanan program bermula pada sebelah malam di mana sesi ramah mesra pihak yayasan dengan ACCAM telah diadakan di rumah presiden ACCAM iaitu Hajjah Masyitah Binti Abdul Rahman dan juga perbincangan secara terperinci tentang program yang bakal dijalankan selama beberapa hari ini.

16 Februari – sekitar jam 8.30 pagi waktu Malaysia, peserta yayasan beserta pegawai ACCAM telah bertolak daripada Bandar Phnom Penh ke Wilayah Chenerang. Setelah lebih dua jam perjalanan, peserta tiba di kampung ‘Knai Kakah’. Program diadakan di surau kampung tersebut yang dimulai dengan acara ramah mesra dan praktikal solat kepada kanak-kanak, manakala slot ceramah telah diadakan kepada golongan dewasa dan disampaikan oleh peserta rombongan iaitu ustaz Amir dan Ustazah Zaharah dan di terjemahkan oleh ustaz Saeid yang merupakan salah seorang sukarelawan yang menyertai aktiviti ini. Antara aktiviti lain yang dijalankan adalah agihan sumbangan baju kepada penduduk kampung dan sembelihan lembu atas derma aqiqah yang telah disalurkan melalui yayasan. Pihak rombongan juga sempat menziarahi kawasan pembinaan pam air yang didermakan kepada keluarga salah seorang penduduk di kampung ini. program berakhir sekitar jam 6.00 petang dan para peserta pulang beredar pulang ke Phnom Penh.

17 Februari – program kerja amal diteruskan ke kampung Swai Pakau. Aktiviti dimulakan sekitar jam 11.00 pagi dengan ceramah yang telah disampaikan oleh Ustaz Amir dan disusuli dengan praktikal solat yang diadakan secara berasingan antara lelaki dan wanita. Di akhir aktiviti yayasan telah memberikan sedikit sumbangan kepada penduduk kampung berupa pakaian, al-quran dan kitab-kitab zikir . Pada hari yang sama sekitar jam 3.30 petang, peserta bertolak ke kampung ‘Samrat Chai’ dimana para peserta perlu menaiki bot menyeberangi sebatang sungai untuk ke kampung tersebut. Yayasan telah menyampaikan sedikit sumbangan seperti pakaian dan Al-quran kepada pihak masjid di kampung tersebut serta meninjau kelas fardhu ain bagi penduduk setempat yang telah usang. Pada sebelah malam pula wakil rombongan telah mengadakan perjumpaan dengan guru-guru agama di sebuah pusat pendidikan Islam berdekatan masjid Nurun-naim Kilometer 8, Phnom Penh. Agenda dalam perjumpaan ini adalah seputar perbincangan bagaimana memperkuatkan institusi pendidikan islam di Kemboja dan prasarana yang diperlukan bagi memperkasakan lagi pendidikan ini di kalangan masyarakat Kemboja.

18 Februari – para peserta telah diundang ke rumah salah seorang tenaga penggerak Al-Ihsan Association for Islamic Education and Development iaitu Ustaz Soleh Musa yang mana beliau juga terlibat secara langsung dalam pembangunan tadika dan sekolah rendah di kawasan KM 9 yang dikendalikan di bawah persatuan ini. Para peserta juga berkunjung ke rumah Ustaz saeid yang merupakan sukarelawan yang banyak membantu dalam gerak kerja lawatan amal ini. Pada jam 4.00 petang rombongan tiba di Tuol Sleng Genocide Museum. Di sini para peserta telah berpeluang melihat foto-foto dan kesan penyeksaan dan keperitan rakyat Kemboja di era revolusi Pol pot (1975-1979). Pada sebelah malam pula acara penyerahan sijil penyertaan oleh pihak ACCAM telah diadakan dan acara ini adalah acara kemuncak kepada lawatan kerja amal ini.

19 Februari – rombongan bergerak sekitar jam 8.00 pagi ke lapangan terbang Phnom Penh dan berlepas pulang ke Malaysia.

Secara keseluruhan, masih banyak lagi ruang kerja amal dan bantuan yang dapat disalurkan untuk pembangunan rakyat Kemboja terutam sekali kepada masyarakat islam. Diharapkan lawatan ini dapat menjadi pemacu kepada program susulan yang akan dijalankan oleh pihak Yayasan Nusrah dan ACCAM di masa hadapan. Pihak yayasan merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua penyumbang-penyumbang daripada rakyat Malaysia samada secara langsung atau tidak langsung dan semoga setiap amal dan keikhlasan yang dicurahkan akan diganjari oleh Allah jua.

Program Keusahawanan Bersama Pelajar Kemboja dan Vietnam

Pada hari sabtu lepas bersamaan dengan 15 Januari 2011, Yayasan Nusrah telah menyertai program yang dianjurkan oleh Persatuan Ulama Kedah yang diadakan di kawasan Derang. Pada hari tersebut, Yayasan Nusrah yang di terajui oleh Dr. Nadiyah diberi peluang untuk bercakap mengenai program keusahawanan yang disediakan oleh Yayasan. Dalam program itu, lebih daripada 30 orang penuntut Kolej Insaniah yang terdiri dari kalangan pelajar Kemboja dan Vietnam selain beberapa orang pelajar Malaysia yang mengambil bahagian. Usaha murni Yayasan Nusrah ini adalah bertujuan untuk menggalakkan pelajar Kemboja dan Vietnam khususnya untuk menceburkan diri dalam bidang keushawanan. Sehubungan dengan itu , Dr. Nadiyah menjelaskan bahawa bidang keusahawanan ini dapat membantu pelajar mencari sumber pendapatan sampingan selain daripada bantuan keluarga ataupun pihak institusi. Dalam program ini juga, Yayasan telah menyediakan beg jualan yang mengandungi barang-barang yang boleh dijual oleh penuntut Insaniah dimana Yayasan akan memberi beg tersebut secara hutang. Di samping itu, pelajar yang berminat untuk menjadi agen jualan langsung Yayasan Nusrah akan mendapat keuntungan daripada jualan mereka.

“tolong menolong kebaikan bersama dunia akhirat”

Gambar di sekitar program

Kursus Kesukarelawan Yayasan Nusrah Bersama Kakitangan UUM

Kursus kesukarelawan bersama kakitangan Universiti Utara Malaysia telah berlangsung pada 10 Januari 2011 yang bertempat di bilik kuliah Sri Srintok 1. Kursus yang mengambil masa selama empat jam ini dibawah kelolaan saudari Zafirah Zulkifli selaku pekerja sosial di Yayasan Nusrah. Diantara matlamat utama penganjuran kursus ini adalah untuk menggalakkan masyarakat melibatkan diri secara aktif dalam kerja sukarela disamping memberi peluang kepada sesiapa yang berminat untuk menghulurkan apa juga bentuk bantuan. Kursus yang disampaikan oleh Dr.Nadiyah ini disertai oleh 12 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah kanan dan juga tutor yang bertugas di fakulti sains dan sastera. Melalui kursus seumpama ini Yayasan dapat mendedahkan masyarakat mengenai konsep sebenar kesukarelawan dan bagaimana masyarakat boleh mengaplikasikan konsep kesukarelawan dalam kehidupan seharian mereka. Dalam kursus ini juga, perserta diberi peluang untuk mengemukakan pendapat dan pertanyaan untuk mendalami lagi konsep kesukarelawan. Pada akhir kursus, para peserta menyatakan kepuasan kerana mendapat banyak maklumat mengenai kesukarelawan. Pihak Yayasan berharap selepas kursus ini, peserta akan lebih memahami konsep kesukarelawan seterusnya mampu mencapai matlamat Yayasan dalam usaha menarik lebih ramai individu yang sudi bekerjasama dengan Yayasan untuk menjayakan sesuatu program kesukarelawan.

“Tolong Menolong Kebaikan Bersama Dunia Akhirat”

Gambar disekitar kursus kesukarelawan

PROGRAM CEKAP DARAB MENDAPAT LIPUTAN AKHBAR TEMPATAN

Program Cekap Darab yang telah berlangsung pada tahun lalu telah mendapat perhatian daripada akhbar tempatan. Berikut adalah keratan akhbar mengenai Program Cekap Darab yang berlangsung di UUM.

Tahniah Yayasan Nusrah!

SUMBANGAN UNTUK MEMBINA SURAU BAGI PENDUDUK TAMAN SERI MERANTI DAN TAMAN RESAK

Assalamualaikum wbt kepada semua saudara Islam.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk membuat rayuan derma bagi pembinaan surau Al Muhtadin. Surau Al Muhtadin ini terletak ditengah-tengah taman di antara Taman Resak dan Taman Seri Meranti. Surau ini kelak akan digunakan oleh semua qariah bagi Taman Resak (1,2 dan 3), Taman Seri Meranti dan juga Taman Seraya. (lebih kurang seramai 2000 orang). Kos pembinaan surau adalah dijangkakan dalam RM 150,000 ke 200,000.00.

Saya bagi mewakili Jawatankuasa Bertindak Pembinaan Surau Al Muhtadin ingin merayu kepada semua muslimin dan muslimat untuk melaksanakan hak dan tanggungjawab kita ke atas perkembangan  agama ALLAH dengan  mendermakan sejumlah wang atau lain-lain bentuk sumbangan bagi membantu pembinaan surau tersebut.

Kami telah berjaya mendapatkan surat sokongan daripada Pejabat Agama Islam Daerah Kubang Pasu untuk membuka akaun SURAU AL-MUHTADIN.

Nombor akaun surau Al-Muhtadin adalah:  02093027514670 Bank Islam Malaysia Berhad cawangan UUM, Sintok.

Untuk makluman semua akaun Surau atau Masjid dengan BIMB hanya akan dapat dibuka selepas mendapat kelulusan dari Pejabat Agama Islam Daerah Kubang Pasu.  Sumbangan kewangan bolehlah dibuat terus ke dalam akaun Surau Al Muhtadin BIMB melalui:-

1.    Kaunter bank

2.    Mesin ATM (melalui pindahan akaun ke akaun lain-lain (masukkan no. akaun surau)

3.    BIMB atau bank lain secara on-line (pastikan nombor akaun betul)

atau Boleh terus serah kepada saya dengan mengambil resit.  Lain-lain bentuk sumbangan bolehlah terus hubungi saya. Di harapkan juga muslimin dan muslimat semua dapat menghebahkan rayuan ini kepada semua yang lain samada individu, syarikat atau lain-lain organisasi. Kami berharap surau ini akan dapat siap dibina dan digunakan menjelang bulan  Ramadan 2011 nanti.

Pengerusi                 :       Nizamuddin 019 5589476

Timbalan Pengerusi        :       Pak Yusof (taman Meranti) 019 4760327

Setiausaha                :       Mohd. Asri (Tmn Resak) 019 4192476

Tim. Setiausaha           :       Mohd. Noor (Tmn Resak) 013 5036946

Bendahari                 :       Zainol (Tmn Meranti) 019 6183155

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata; Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya seorang mukmin daripada amalan kebaikannya yang berterusan selepas kematiannya ialah ilmu yang diajar dan disampaikannya, atau anak soleh yang ditinggalkannya, atau al-Quran yang diwarisinya atau masjid (surau) yang telah dibinakannya, atau rumah untuk musafir yang dibinakannya, atau mengalirkan sungai atau sedekah yang dikeluarkan daripada hartanya semasa sihat, pahala semua itu akan mengiringinya selepas kematiannya.”

Semoga rayuan kami ini akan mendapat maklumbalas, perhatian dan keperihatinan dari semua muslimin dan muslimat dan semoga dengan itu juga akan mendapat petunjuk dan hidayah dari ALLAH S.W.T. dan sentiasa mendapat pahala yang berpanjangan serta kejayaan dan keselamatan di dunia mahupun di akhirat kelak.

Bersamalah membantu membina rumah ALLAH.

Sekian. Terima kasih.

Yang Benar,

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak,

Pembinaan Surau Al-Muhtadin Taman Resak & Taman Sri Meranti,

 

Yayasan Nusrah menerima sumbangan untuk projek ke Kemboja


Pada hari ini, bersamaan 27 Disember 2010, Yayasan Nusrah telah berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM 4300.00 daripada orang ramai. Selain itu, Yayasan juga menerima sumbangan 40 naskah Al-quran dan 150 naskah surah yassin. Melalui sumbangan ini, ia menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap kebaikan menderma dan tanda sokongan mereka terhadap  program amal yang dijalankan oleh Yayasan Nusrah. Sehubungan dengan itu, pihak Yayasan amat mengalu-alukan sekiranya terdapat pihak-pihak diluar sana yang sudi untuk menghulurkan sumbangan agar program ke Kemboja berjaya mencapai matlamatnya.

“tolong menolong kebaikan bersama dunia akhirat”