Gambar Korban 1431H Yayasan Nusrah Di Kemboja


“Tolong Menolong Kebaikan Bersama Dunia Akhirat”

Advertisements

Khutbah Jumaat

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“TANGGUNGJAWAB SOSIAL SATU TUNTUTAN”
(26 NOVEMBER 2010 / 19 ZULHIJJAH 1431H)

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “TANGGUNGJAWAB SOSIAL SATU TUNTUTAN ”

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Manusia adalah makhluk yang ‘Mujtamak’ ataupun insan bermasyarakat.Tanpa sokongan dan kerjasama  manusia tidak akan dapat mencipta budaya dan tamadun. Dalam Islam konsep bermasyarakat adalah murni dan luas melangkawi agama, bangsa, warna kulit dan budaya. Hal ini di nyatakan oleh Allah SWT  dalam surah al-Hujuraat ayat 13:

Maksudnya : “ Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan.”.

Berdasarkan ayat tersebut, dapat difahami bahawa manusia diciptakan  untuk saling kenal- mengenali dan saling berkerjasama antara satu sama lain serta bantu-membantu demi membina kehidupan yang sejahtera dengan di dokong iman dan takwa kepada Allah SWT. Dalam menghayati kehidupan bermasyarakat Islam amat menitik beratkan konsep tanggungjawab sosial, iaitu mengambil berat sesama manusia sebagaimana hadith Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang tidak mengambil berat di atas urusan orang muslimin maka bukanlah dia dari kalangan mereka. Dan sesiapa yang pada pagi hari mengutamakan perkara selain daripada agama Allah maka bukanlah dia daripada golongan orang yang diredhai Allah”(Riwayat at-Tabarani).

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Islam adalah agama persaudaraan. Ciri-ciri persaudaraan terkandung dalam nilai-nilai unggul seperti berbuat baik, berkasih sayang, hormat menghormati, tolong menolong, amanah, jujur, bertimbang rasa dan sebagainya. Jesteru nilai-nilai murni ini menjadi tunjang di dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, tuntutan berbuat baik atau melakukan kebajikan tidak terbatas kepada ibu bapa, adik beradik, ahli keluarga atau orang-orang yang ada pertalian darah dengan kita sahaja. Bahkan kita dituntut berbuat baik atau melakukan kebajikan kepada kawan-kawan, jiran tetangga bahkan kepada orang-orang yang kita tidak kenali termasuk juga terhadap haiwan dan makhluk-makhluk yang lain.

Lumrah kehidupan bahawa ada manusia yang hidupnya mewah dan kaya raya serta ada yang miskin melarat. Justeru syarak mewajibkan golongan yang berada mestilah membela golongan yang miskin dan lemah. Saban hari media massa memaparkan kisah penderitaan masyarakat, ada di kalangan mereka yang terlantar sakit, fakir dan miskin, ada yang dilanda pelbagai musibah bencana dan wabak penyakit. Mereka ini sebenarnya memerlukan bantuan dan pertolongan daripada kita. Kita boleh membantu mereka samada dengan wang ringgit atau sokongan moral.  Ketahuilah bahawa ada dikalangan mereka memerlukan bantuan organ-organ untuk meneruskan kehidupan. Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia bahawa bilangan pesakit yang memerlukan pemindahan organ semakin meningkat di negara kita dan ia merupakan salah satu kaedah rawatan yang telah diterima ramai.
Bersempena dengan kempen pendermaan organ yang sedang giat dilaksanakan, mimbar menyeru kepada semua pihak marilah sama-sama kita menyahut seruan kempen ini dengan mendaftar diri sebagai penderma. Pendermaan organ adalah sebahagian amalan sedekah jariah kita demi menyelamatkan nyawa sesama manusia. Agama Islam mengharuskan pendermaan organ sebagaimana yang telah diputuskan dalam majlis Muzakarah Fatwa kebangsaan pada tahun 1970.  Ketahuilah pendermaan organ merupakan satu pekerjaan mulia dan amalan yang mendapat pahala yang berterusan hingga ke alam akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 32:

Maksudnya:“ Dan sesiapa yang menjaga kehidupan manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga kehidupan manusia semuanya.”

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Umat Islam mempunyai peluang yang amat luas untuk melipatgandakan pahala khususnya bagi mereka yang dikurniakan harta dan wang ringgit yang banyak. Kerana itu, beruntunglah orang-orang yang diberi oleh Allah SWT. kelebihan suka menolong orang lain dan membantu di dalam kerja-kerja kebajikan. Sabda Rasulullah SAW :

Bermaksud: “ Sebaik-baik manusia yang memberi manfaat kepada orang lain”.
(Riwayat al-Qudhai)

Berdasarkan hadith tersebut, maka beruntunglah kita atau bagi sesiapa yang menjadi orang yang banyak memberi manfaat kepada sesama manusia, suka memberi bantuan dalam kerja-kerja kebajikan atau berusaha mengurangkan penderitaan terhadap musibah yang ditanggung oleh seseorang. Oleh itu, yang jelas bagi kita semua, bahawa seruan  amalan suka menolong dan membantu orang lain adalah termasuk didalam amal ibadah, bahkan pahalanya lebih besar daripada beriktikaf di dalam masjid.

Ibnu Qayyim Rahimahu Allah menyatakan bahawa sesiapa yang berbuat baik dengan orang lain. Allah akan berbuat baik kepada dirinya,  dan sesiapa yang bersifat rahmah kepada orang lain, Allah akan bersifat rahmah kepadanya, dan sesiapa yang memberi manfaat kepada orang lain, Allah akan memberi manfaat kepada dirinya, dan sesiapa yang menutup keaiban orang lain, maka Allah akan menutup keaibannya, dan sesiapa yang menegah kebaikan orang lain, maka Allah akan menegah kebaikan kepadanya dan sesiapa yang berhubung kepada yang lain dengan sifat tertentu Allah akan bermuamalah denganya sama dengan sifat itu di dunia dan di akhirat. Oleh yang demikian banyakkan membantu atau menolong orang yang memerlukan bantuan kerana Allah.

Justeru  itu, mimbar Jumaat menyeru para jamaah dan seluruh umat Islam agar sama-sama menyemarakan amalan tanggungjawab sosial terutama demi menyelamatkan maruah dan  nyawa sesama kita. Kerana sesungguhnya tersirat seribu rahsia dan hikmah disebalik semangat tersebut. Semoga hubungan yang baik dan semangat tolong menolong dapat mengukuhkan lagi ikatan ukhuwah sesama Islam.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, beberapa pengajaran dapat disimpulkan diantaranya, Pertama: Bahawa manusia tidak boleh hidup bersendirian. Oleh sebab itu, manusia tidak dapat lari dari hidup bermasyarakat yang saling perlu memerlukan dan saling bergantung antara satu sama lain. Kedua: Masyarakat yang hidup saling tolong menolong dan hidup dalam suasana ukhuwwah, akan hidup dalam keadaan aman dan sejahtera, makmur dan bahagia. Ketiga: Tuntutan menunaikan tanggungjawab sesama umat Islam atau melaksanakan hak mereka merupakan salah satu dari cabang iman. Sesiapa yang melaksanakan tuntutan ini akan mendapat ganjaran pahala serta dikasihi Allah SWT dan Rasul. Keempat: Semangat bantu membantu dan hidup berkasih sayang serta bertolak ansur dapat membentuk perpaduan yang  jitu. Disamping ia dapat menghindarkan dari anasir-anasir yang tidak sihat, perbuatan khianat, fitnah dan sebagainya yang boleh mengancam kehidupan mesyarakat. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Fusilat ayat 34:

Maksudnya:“ Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan yang jahat. Tolaklah kejahatan dengan cara yang baik; apabila tiba-tiba orang yang di antara kamu dan antara dia ada permusuhan, seolah-olah dia seorang sahabat karib”.

Khutbah penuh boleh didapati di : JAKIM

“Tolong Menolong Kebaikan Bersama Dunia Akhirat”

 

Ziarah dan Musyawarah Bersama Mudir Pusat Bimbingan Faidhul Ahmadiyyah

Semalam (Kelmarin) pengetua Pusat Bimbingan Faidhul Ahmadiyyah, Ustaz Ismail Bin Morad@Haji Ani telah datang menziarahi pejabat Yayasan Nusrah. Sekitar ziarah tersebut, kedua-dua belah pihak banyak membincangkan mengenai keperluan mencari dana membaik-pulih bangunan pusat bimbingan tersebut.

Difahamkan bangunan asal pusat bimbingan yang ditubuhkan pada tahun 1994 ini telah reput dimakan anai-anai dan memerlukan seberapa segera dana bagi tujuan baik-pulih tersebut. Pada masa ini, buat sementara waktu pusat tersebut terpaksa menyewa sebuah rumah di Taman Sri Kemuning 2. Fasa 1 pembinaan dianggarkan memerlukan sekitar RM300k bagi membina bangunan dua tingkat yang menempatkan kelas kepada para pelajar sebelum pembinaan tingkat ke-3 dilakukan dalam fasa berikutnya.

Sumbangan orang ramai amat dialu-alukan bagi bersama-sama membantu meringankan beban mengumpul dana Pusat Bimbingan Faidhul Ahmadiyyah. Mereka boleh dihubungi di :

No Tel : 017-5316617
Emel : Faidhul.ahmadiyyah@gmail.com
No A/C : 0982022006121 ( Ambank )

“Tolong Menolong Kebaikan Bersama Dunia Akhirat”

Sekitar Rumah Terbuka Yayasan Nusrah Bersama Ibu Tunggal







“Tolong Menolong Kebaikan Bersama Dunia Akhirat”

Sekitar Korban Yayasan Nusrah Di Malaysia

Syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izinNya Yayasan Nusrah telah berjaya menjayakan Korban 1431H dengan sempurna pada hari raya kedua yang lalu. Bertempat di Derang, sebanyak 3 ekor lembu telah ditumbangkan.

Setelah disembelih, daging-daging tersebut telah dibawa ke Dewan Al-Bukhari, Maahad Tarbiah Islamiah Derang untuk aktiviti melapah dan memproses.Dengan bantuan daripada pekerja dan sukarelawan serta beberapa orang penduduk setempat, kesemua mereka telah berganding bahu melapah daging-daging tersebut untuk diagihkan kepada ibu tunggal.

Daging yang sedia untuk diproses
Memunggah turun daging dari van
Membungkus daging mengikut sukatan
Memasang kotak daging 

Sekitar aktiviti melapah tersebut, seorang penduduk tempatan yang ingin dikenali sebagai Cik Mat telah menawarkan diri untuk membantu melaksanakan korban pada tahun-tahun akan datang. Lebih daripada itu, beliau sendiri mencadangkan rumahnya dijadikan tapak penyembelihan dan pemprosesan.Pihak yayasan sangat berbesar-hati dengan pelawaan tersebut dan berharap rancangan tersebut dapat dilaksanakan seperti yang dirancangkan.

Agihan bahagian-bahagian daging korban tersebut kepada golongan ibu tunggal akan di adakan di pejabat Yayasan Nusrah pada hari raya ke-4 ini bermula jam 9 pagi. Ia akan berlangsung serentak dengan penganjuran rumah terbuka Yayasan Nusrah. Semua Muslimin dan Muslimat yang tinggal di sekitar Kubang Pasu, Alor Star serta yang mempunyai kelapangan dijemput hadir memeriahkan rumah terbuka Yayasan Nusrah

Dalam pada masa yang sama, satu delegasi daripada Yayasan Nusrah telah berlepas ke Kemboja atas tujuan mewakili peserta-peserta korban dan Akikah Yayasan Nusrah di Kemboja. Delegasi dari Yayasan Nusrah tersebut telah diwakili oleh Cikgu Suhaidi Bin Sujak bersama-sama beberapa wakil dan sukarelawan. Sebanyak 10 ekor lembu akan dikorbankan di Kemboja di 3 buah kampung.

Moga-moga semua urusan kita semua dipermudahkan dan mendapat keredhaan dari Allah s.w.t.

Sabda Baginda Nabi Muhammad s.a.w :

“Tiada suatu amalanpun yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, lebih dicintai oleh Allah swt selain dari
menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu nanti di hari kiamat akan datang berserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, pahalanya telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semuanya dengan pahala korban itu”. (HR. Tirmidzi dan Ibn Majah)

“Tolong Menolong Kebaikan Bersama Dunia Akhirat”

Selamat Hari Raya Aidiladha 1431H

Pihak pentadbiran Yayasan Nusrah mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 1431H kepada semua Muslimin dan Muslimat.

“Tolong Menolong Kebaikan Bersama Dunia Akhirat”

Menerokai Peluang Usahasama Bersama Usahawan Berjaya

Umi Nadiyah bergambar bersama En. Azahar dab IsteriUmi Nadiyah bersama En. Azahar dan Isteri

Yayasan Nusrah telah berjaya mengorak langkah ke hadapan apabila berjaya menerokai satu lagi peluang usahasama dalam bidang perniagaan bersama-sama dengan Encik Azahar Abdul Rahman, usahawan online dan penulis buku di PTS Publications.

Sedikit biodata beliau:

Sekembali dari luar negara beliau kembali berkhidmat bersama Mesiniaga Sdn Bhd (sole agent and disbributor) untuk IBM Malaysia. Di sini beliau didedahkan dengan dunia komputer dan internet. Minat pada komputer dan bisnes internet menyebabkan beliau sering menggunakan masa terluang menerokai bidang itu.

Beliau kemudiannya menubuhkan syarikat D-Men Resources (M) Sdn Bhd, (DRSB) pada tahun 2001 yang terlibat dengan bidang pendidikan di peringkat sarjana. Melalui DRSB, penulis menawarkan prasarana untuk Universiti Utara Malaysia di kampus milik DRSB yang dikenali sebagai Kampus Kulim menggantikan Kampus UUM Sungai Petani, Kedah.

Memandangkan keperluan bidang latihan dan kursus luaran yang mendapat permintaan yang tinggi, Penulis kemudian menubuhkan KIC Management Sdn Bhd yang mengadakan kerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, menawarkan kursus-kursus Diploma Eksekutif dan juga dengan Space, Universiti Teknologi Malaysia bagi kursus kursus jangka pendek.

Minat mendalam terhadap bidang internet menyebabkan beliau banyak membaca buku buku berkaitan bisnes di internet yang ditulis oleh mereka mereka yang berjaya dalam bisnes internet antara yang terkenal seperti:

1. Corey Ruld

2. Rosalind Gardner

Ia mendorong penulis menerokai bidang bisnes internet secara serius. Beliau kemudian menubuhkan Artmand Corporation Sdn Bhd yang mengendalikan bisnes beliau di internet serta menjadi reseller kepada syarikat webhosting Emerge System (M) Sdn Bhd.

Melalui kaedah kaedah yang dicuba dan terbukti berjaya menghasilkan pendapatan kepada beliau, beliau menulis sebuah buku yang memberikan penerangan secara terperici supaya dijadikan panduan kepada mereka yang berminat menceburi bisnes di internet.

Sumber : http://pts.com.my/index.php/penulis/bio/1893/

“Tolong Menolong Kebaikan Bersama Dunia Akhirat”